Pages

Wednesday 20 July 2016

Cinta, Stay With Me!



Cinta, stay with me!
By : One.Deen

Langit biru didongak dari bawah. Terkerdip-kerdip mata. Sinar suria menerjah masuk ke mata tanpa terhalang oleh apa-apa. Cermin mata hitam sudah disapu dan dibuang jauh-jauh. Eh, bukan. Disimpan tanpa diketahui tempatnya. Itu antara satu syarat yang tidak boleh dilanggar. Wajib dituruti. Andai enggan, boleh angkat kaki dan say goodbye!

Argh! aku bukan lelaki macam tu. Pantang menyerah sebelum berjuang!

“Betul ke bang… kena panjat pokok ni?” Tanya Yussuf ingin kepastian. Gila! Aku mana pernah buat benda macam ni. Mengarut betul. Tak masuk akal langsung. Hilang tabiat. Jatuh aku nanti, siapa nak sambut? Patah kaki aku nanti macam mana? Menderita aku siapa nak jawap? Argh!!! Gila…

“Yelah. Kau ada masalah pendengaran ke? Aku cakap… P.A.N.J.A.T… panjat! Aku suruh panjat bukan nengok aje…” Izzue di sebelah langsung tidak menunjukkan muka kesian. Ambik kau! Menggatal sangat dengan adik aku. Ingat senang ke apa nak jadi sebahagian dari kami. Sebelum itu terjadi, kau kena hadap aku dulu.

“Ini ujian fizikal. Aku nak tengok kau ni laki sejati ke tidak. Kalau yang ni kau tak lepas… maknanya, kau boleh simpan saja angan-angan nak dapatkan Sara.” Ujar Izzue tetap dengan syaratnya.

Apa syaratnya Izzue?

“Kau panjat pokok kelapa tu. Ambil buahnya. Kopek sabutnya. Air kasi aku minum. Isinya nanti aku bagitahu balik perlu buat apa. Faham?!” Tegas Izzue bersuara. Tiada tolak ansur.

Yussuf akur. Mahu tidak mahu dia menurut sahaja arahan Izzue a.k.a ‘Bakal Abang Iparnya’ itu. Izzue hanya memerhatikan saja. Perut sudah mula tergeletek. Mahu saja dia ketawa berdekah-dekah melihat muka Yussuf yang sudah pasrah sepenuhnya.

Pohon kelapa yang punya ketinggian sama tinggi dengan bumbung rumah dipanjat jua. Gayat berada di atas pohon tersebut usah dicerita. Memang hilang terus kata-kata yang nak terluah bagi menggambarkan betapa menderitanya jiwa dikerjakan cukup-cukup oleh Izzue.

Izzue di bawah mengacip gigi dari kedua-dua rahang untuk mengelakkan suara tawanya terhambur. Memang nekad betul budak ni. Sanggup dia panjat pokok kelapa tu. Eish-eish… betullah cinta itu buta dan gila. Buta akal untuk nilai benda itu wajar atau tidak dilakukan. Gila sebab sanggup buat benda gila!

Izzue menggeleng. Nanti kalau aku jatuh cinta. Pasti gayanya begini juga rupanya. Uish! Teruk kalau macam ni. Izzue geleng lagi.

Yussuf sudah berjaya sampai puncak. Nafasnya turun naik. Sesekali dia pandang ke bawah. Nampak kelibat Izzue yang terdongak-dongak dari bawah.

“Ambil yang muda. Bukan yang tua. Faham?!” Jerit Izzue.

Yussuf hanya mengangguk. Lidah seperti sudah terpotong. Dia tidak boleh bertutur seperti sedia kala. Hilang seketika satu deria.

Satu buah kelapa ditarik dari tangkai. Susah betul nak dirungkai buah itu. Tercalar-calar tangannya terkena ranting-ranting pelepah kelapa. Sakit! Tapi kesakitan itu ditolak ke tepi dulu. Misi dia adalah untuk mendapatkan buah kelapa itu dulu. Tidak boleh bertangguh lama. Dia bukan boleh duduk lama sangat di atas pohon ini. Perut sudah mula mual gara-gara terlajak gayat.

Gedebukk…

Buah kepala akhirnya berjaya dijatuhkan menyembah tanah. Pantas tanpa menunggu lama, dia turun ke bawah. Izzue mengangguk puas. Satu halangan sudah berjaya dilepasi.

Sebaik kaki menginjat tanah bumi, Yussuf hampir tersungkur. Kaki sudah goyah sebab ‘gayat’ masih lagi belum hilang sepenuhnya. Namun, dia kuatkan juga diri untuk terus bertahan. Kudrat masih bersisa, dikerah keluar sepenuhnya untuk menampung badan yang sudah terhuyung-hayang seperti pokok yang tunggu masa mahu tumbang.

Izzue baru saja mahu membuka mulut untuk bersuara namun kata-katanya mati apabila Yussuf sudah melangkah pergi mendapatkan alat pengoyak kelapa. Izzue tersenyum sumbing. Bagus. Boleh baca apa yang aku fikirkan.

“Okay. Sekarang kau boleh pergi masuk rumah. Mandi. Bersiap untuk solat asar. Dan tunggu kami kat ruang tamu.” Satu arahan meluncur laju keluar dari mulut Izzue.

“Kami?” Soal Yussuf pelik. Setahu dia, di rumah tu hanya ada Izzue dan Pak Nasir merangkap bakal bapa mertuanya saja. Tidak pula dia melihat manusia sejantina dengannya yang lain lagi.

“Sekejap lagi, adik aku akan balik. Dia akan ikut sekali kita ke surau untuk solat. Kau faham!?” Izzue bercekak pinggang.

“Abang ada adik lelaki ke?” Polos pertanyaan Yusuff.

“Ya.” Ringkas jawapan daripada Izzue.

“Jadi mereka juga abang Sara?” Satu soalan yang tidak sepatutnya ditanya terbabas keluar. Tapi sebab mulut sudah begitu ringan untuk digerakkan maka terkeluarlah satu soalan yang dianggap bodoh ditanya.

Izzue menjegil mata.

“Kau ingat Sara tu adik tiri aku ke apa? Dah sah-sahlah kalau aku ada adik lelaki lain… maksudnya Sara pun ada abang lelaki lain selain dari aku! Apasal kau ni lemb... sangat eh?” Izzue sudah menyinga. Cuma tidak sampai melalut sehingga sanggup mengata Yussuf ‘LEMBAB’ walaupun hampir terkeluar. Dia bukan apa. Geram dengan sikap Yussuf yang nampak sengaja buat diri tidak cekap dalam menangkap setiap butir bicaranya. Aku hempuk kang.. menangis pula budak ni nanti!
****

“Jadi kau Yusuff?” Seorang pemuda lingkungan umurnya menyapa dari belakang. Yusuff berpaling. Segaris senyuman terukir di bibir. Pemuda itu mendekati Yusuff. Mukanya tampak tenang biarpun tanpa senyuman. Tengok muka sudah tenang, tak mengapalah kalau tak dapat senyumannya pun. Desis Yusuff dalam hati.

“Aku Ateeq. Abang kedua Sara.” Ateeq menyendeng badan pada dinding beranda. Yusuff mengangguk.

Ateeq… kalau tengok gaya penampilan dia, nampak seperti pak-pak ustaz. Muka dia cerah seperti ada sportlight tapi dia bukan berkulit putih sangat. Suam-suam putih. Mungkin ini orang panggil… sinar keimanan. Erm, mungkin. Yusuff agak-agak saja…

“Boleh saya tahu… Sara ada berapa abang sebenarnya?” Tanya Yusuff teragak-agak. Dia berani bertanya pun sebab tengok muka Ateeq yang nampak tenang. Tidak setegas Izzue. Kalau Izzue memang simpan saja pertanyaan itu dalam hati. Jika nekad nak tanya pun, belum sempat ayat pertanyaan dihabiskan pasti kata-kata akan dicantas dengan tengkingan. Uish, mungkin itu lebih lagi…

Dengan badan yang sedikit gempal tapi bukan kategori gemuk, rasanya boleh lenyek Yusuff ditibainya.

“Sara tak bagitahu ke?” Tanya Ateeq dengan nada mendatar. Masih kelihatan tenang di mata Yusuff.

“Dia hanya cakap dia ada adik-beradik. Saya tak tanya lebih sebab nampak dia tak nak bagitahu lebih dari itu.” Jawab Yusuff jujur.

“Kau kenal berapa lama dah… adik aku?” Soal seseorang dari arah belakang. Sekali lagi Yusuff berpaling. Yusuff menelan air liur. Ini siapa pula?

Seorang lelaki yang punya ketinggian yang… masyaAllah, galah ke apa manusia ini? Warna rona kulitnya ala-ala Remy Ishak. Manis wajahnya seperti terlebih gula. Tapi semua itu hilang sebab kebengisan yang nampak seperti sengaja dipamerkan.

“Tu Zul. Abang ketiga Sara.” Ujar Ateeq seperti dapat mendengar persoalan hati Yusuff. Pakar baca hati orang ke apa mamat ni?

“Kau kenal Sara berapa lama dah?” Sekali lagi pertanyaan diulang semula. Tegas dan menakutkan. Zul mendekat. Berdiri di sebelah kanan Yusuff.

Alamak! aku terkepung. Eh, tak. Aku dihimpit kiri dan kanan. Mampus. Sesi soal selidik sudah bermula. Aku pasti diuli cukup-cukup.

Yusuff menarik nafas dalam-dalam. “Erkk… baru saja. Lebih kurang enam bulan.” Tergagap-gagap Yusuff dibuatnya.

“Enam bulan?!” Bergegar gegendang telinga Yusuff. Tidak pasti sama ada Zul sedang menengkingnya atau sedang bertutur seperti biasa sebagaimana yang dia lakukan. Yusuff tidak pasti sebab dia tidak kenal Zul bagaimana orang. Ini pertama kali dia bertemu muka ke muka.

Tadi, waktu mereka sampai dan melangkah masuk ke ruang tamu, dia hanya dipandang sekilas lalu sahaja. Langsung tiada sapaan. Saat berpamitan ke surau, mereka diam membisu. Sepertinya mulut mereka terpasung menyukarkan mereka untuk bertutur. Tak faham betul Yusuff dengan sikap dua orang abang Sara tu. Pulang dari surau baru dia disapa. Dan situasi itu… sekarang ni.

“Kenapa tak minta izin nak kawan dengan adik kami?” Soal Zul lagi persis seorang penyiasat. Bertanya itu dan ini.

Yusuff menghembus nafas kecil. Semput pula perut. Satu situasi yang paling dia tidak suka. Baru saja nak tarik nafas lega dengan kehadiran Ateeq, tiba-tiba muncul pula si singa yang bertaring tajam. Namun demi Sara, gadis yang berjaya mencuri hatinya, dia sanggup hadap semua ni. Asalkan Sara jadi yang halal baginya, dia sanggup buat segalanya. Semuanya demi Sara. Ini padah bila sudah jatuh cinta. Dah nak buat macam mana kalau sudah cinta terjatuh ke hati. Takkan nak dilambung semula cinta keluar dari mulut, tendang jauh-jauh jangan sampai mendekat lagi. Kerja gila. Ada ke orang buat macam tu?

“Sebelum ni saya kenal dia dari jauh saja. Saya tak berani tegur dia.” Jawab Yusuff dengan nada suara yang kedengaran bergetaran. Gugup.

Ateeq tersenyum. Dia membawa tangan bersilang ke dada. Dia lebih banyak bertindak sebagai pendengar. Tidak mahu menyampuk dan ikut serta sesi soal jawab Zul terhadap Yusuff.

“Habis Sara tahu kau datang sini?” Lantang pertanyaan itu menyapa telinga Yusuff.

Yusuff mengangguk. Takut pula dia dengan ketegasan Zul. Biarpun Zul nampak lebih muda dari dia tapi bila tengok ketegasan yang sudah terpamer di wajah lelaki itu memang secara automatik soal umur ditolak jauh ke tepi.

“Jadi maksudnya kamu pernah bercakap dengan adik kami?” Akhirnya setelah lama berdiam, Ateeq bersuara kembali.

“Pernah. Tapi hanya beberapa kali je. Itu pun atas urusan kerja. Sumpah. Hanya beberapa saja. Tu pun bila saya sampaikan niat saya nak kenal dia lebih dekat…” Jujur jawapan Yusuff.

Ateeq tersenyum kecil. Zul mengendurkan sedikit muka yang kelihatan tegang dan tegas itu.

“Apa Sara jawab?” Soal Izzue yang tiba-tiba muncul, tercegak di pintu masuk.

Seketika Yusuff menoleh ke arah datangnya suara. Keluhan kecil terluah. Aduih, malam ni aku memang kena ganyang betul-betul dengan kakanda-kakanda Sara.

“Jangan mengeluh. Jawab pertanyaan aku. Kalau tak kau…”

“Okay-okay… saya jawab.” Belum sempat Izzue meneruskan ayatnya pantas Yusuff memotong. Yusuff tahu ke mana ayat bicara Izzue akan membelok. Tak lain tak bukan mesti ugutan yang sama seperti lewat petang tadi. ‘Kalau tak kau simpan saja anggan-anggan kau nak dapatkan Sara.’

Ayat itu yang dia nak elak dari terkeluar kembali dari bibir Izzue atau dua lagi abang Sara. Tak sanggup dia nak mendengar. Bimbang kata-kata itu jadi doa. Takut pula andai doa itu dimakbulkan Allah. Dia tak dapat bayangkan andai itu semua benar-benar terjadi. Pasti meroyan sampai ke tua dia sebab tak dapat kahwin dengan Sara. Uish, Nauzubillah… minta Allah jauhkan dari berlaku…

“Sara tak jawab apa-apa. Dia hanya bagitahu. Kalau betul ikhlas, jumpa wali dia…” Jawab Yusuff sambil menunduk muka menyembah lantai bermozek hijau pekat itu.

“Jadi…?” Tanya Zul tidak sabar.

“Jadi, saya dapatkan alamat rumah ni dari Sara dan terus datang sini tanpa fikir apa-apa…”

“Kau terlal…” Zul mahu memberitahu sesuatu. Namun belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Yusuff memintas.

“Saya tahu, mungkin saya terlalu terburu-buru. Tapi saya yakin. Saya yakin dengan keputusan saya nak peristerikan Sara…”

“Buat istikarah dulu…” Ujar Ateeq lembut bercampur tenang.

“Saya dah buat. Bukan sekali tapi berkali-kali. Jawapan tetap sama. Wajah Sara yang selalu muncul dalam setiap mimpi saya…”

“Kau terlalu angau…” Kata Zul tidak bersetuju dengan kenyataan Yusuff.

“Achik…” Izzue menegur. Zul diam.

“Takpelah. Kalau betul niat kau nak jadikan adik kami isteri kau, kau teruskan. Tapi kena ingat. Sebelum kau berdepan dengan abah kami… nak sampaikan hajat sebenar kau datang sini, kau kena hadap kami dulu. Kena lepas syarat kami dulu sebelum kau face to face dengan abah kami. Kalau lepas kami, Insha-Allah… urusan kau dengan abah kami akan smooth. Bukan tu saja… kami akan backup kau dari belakang.” Ucap Izzue dengan muka tenang. Cukup berbeza dengan Izzue yang dikenali Yusuff sebelum ini.

“Abah tak tahu lagi ke?” Soal Ateeq.

“Tak… aku cakap dia ni kawan aku.” Jawab Izzue. Yusuff hanya memerhatikan saja perbualan yang separa berbisik antara Izzue dan Ateeq itu.

“Kalau abah tahu macam mana?” Tanya Zul pula. Yusuff menoleh pula melihat Zul. Pening pula dia dibuatnya. Boleh pula mereka berbual depan aku. Buat aku seperti tak wujud di sini…

“Jangan risau… aku tahu apa yang nak dijawab nanti. Kau ikut je percaturan aku.” Ujar Izzue menyakinkan adik-adiknya. Muka yang menyakinkan dipamerkan bagi menyokong kenyataannya.

“Dan kau Yusuff… jangan sesekali buka mulut bagitahu siapa kau pada umi dan abah kami. Kalau kau nak jadi adik ipar aku. Kau kena turut apa yang aku suruh. Kalau kau tak nak ikut. Kau boleh angkat kaki… blah dari sini. Faham?!” Izzue menekan suara. Yusuff terus mengangguk. Takut dengan ugutan itu.

“Ujian Abah kami lebih teruk dari kami. Kalau kau nak tahu, dulu… waktu mak su kami nak kahwin… abah kami suruh pak su kami baca quran yang tak ada baris. Nasib baik lepas. Kalau tidak sampai bila-bila dia tak dapat kahwin dengan mak su kami…” Ateeq memprovok. Yusuff kecut perut. Gila kalau bakal bapa mertua dia buat benda yang sama pada dirinya. Menangis boleh dia kalau kena buat macam tu. Dia yakin dia takkan dapat lepas ujian macam tu.

*****

Usai makan, mereka berlama di meja makan. Bersembang kosong bersama keluarga Sara. Yusuff lebih bertindak sebagai ‘penjawab’. Hanya bersuara apabila ditanya. Diam mendengar apabila tiada apa-apa persoalan ditujukan padanya.

“Jauh juga Yusuff datang sini. Dari KL pandu jauh-jauh… semata-mata nak melawat Izzue di sini.” Ujar Mak Ngah, ibu Sara.

Yusuff tersengih. Tergeleng kecil. Entah apa yang Izzue kelentong pada ibu bapanya. Argh! pedulikanlah. Apa yang penting dia ikut apa yang direncanakan Izzue. Dan dia berharap, semuanya berjalan lancar. Minta maaf, pak cik dan mak cik… saya mangsa keadaan. Hanya mampu menurut saja percaturan mereka ni.

“Yusuff ni suka adventure sikit, umi… Katanya nak belajar hidup di kampung. Sebab tu angah ajak dia datang sini. Kasi dia rasa betapa ‘nikkkmattt’ hidup di kampung.” Sampuk Izzue. Sempat dikenyit mata pada Ateeq dan Zul yang masih setia di kerusi sejak tadi.

Zul tersergih sumbing. Ateeq tersenyum nipis. Masak betul dengan gaya Izzue yang sudah mampu dibaca. Pasti ada benda nak dibuat pada Yusuff sekejap lagi. Dan mereka pastinya akan disuruh tanpa lisan bertindak sebagai penyokong Izzue dari belakang.

“Umi nak pergi mana tu?” Soal Zul apabila melihat Mak Ngah bangkit dari kerusi.

“Nak pergi mana lagi. Basuh pinggan laa… Kalau tak basuh selalu… jawabnya tikus-tikus tu buat dajjal atas pinggan umi. Kamu semua pun bukan suka sangat kan makan guna pinggan yang dipijak tikus?” Sempat Mak Ngah menyakat anak-anak lelakinya.

Ini masalah bila tinggal di rumah kampung. Soal tikus memang tidak boleh dielak lagi. Walaupun diracun dan dipasang perangkap. Tetap tikus-tikus tanah itu tidak makan saman. Terus nak jadi penghuni tanpa izin di rumah itu. Naik gila Mak Ngah dibuatnya. Tambah-tambah bila Pak Nasir tanpa sekelumit rasa geli, diacuh-acuh tikus yang berjaya ditangkap pada Mak Ngah. Bergegar isi rumah dengan tempikan geli Mak Ngah.

“Basuh pinggan?” Soal Zul. Dia meleretkan mata ke arah Izzue. Kaki Izzue di bawah meja dikuis perlahan. Isyarat sampai. Izzue menafsir baik isyarat tanpa suara itu. Cukup dengan sentuhan kulit kaki Zul pada kulit kakinya, dia sudah dapat membaca apa yang difikirkan Zul.

Izzue tersenyum. Penuh dengan makna yang tersirat. Yusuff di hadapannya mula tidak senang duduk. Hati kecilnya dapat mengagak sesuatu. Aish! Kena lagi aku lepas ni…

“Hah! Soal basuh pinggan… umi jangan pusing. Angah akan settlekan.” Izzue membuka tirai permainan gilanya. Yusuff mula berdebar. Ini tidak lain tidak bukan, pasti nak mendajjalkan aku ni!

“Betul… Achik dengan uda boleh tolong angah sekali.” Zul menambah. Bertindak sebagai penyokong setia dan sanggup buat apa saja. Nekad.

“Suff! Kau tak nak join kita orang?” Soal Zul. Boleh pula diangkat kening kiri sambil menunggu jawapan Yusuff.

Yusuff membalas pandangan Zul. Sungguh kurang ajar namanya budak ni. Berani betul dia singkatkan nama aku yang memang sudah sedia pendek. Susah sangat ke apa nak sebut perkataan ‘YUSUFF’. Punyalah sedap nama itu boleh pula disebutnya ‘SUFF’ saja. Buruk bunyinya. Menanah telinga aku mendengarnya. Langsung tidak sesuai dengan muka aku yang boleh tahan berjetak mata bila ada yang terpandang atau sengaja memandang.

“Diam maksudnya sanggup…” Tutur Ateeq rendah. Boleh tahan cekap juga dia menyakat Yusuff.

Yusuff merengus kecil. Maka bermula kembali sesi ujian untuk memastikan sama ada dia layak atau tidak jadi adik ipar kepada abang-abang Sara. Sungguh jiwanya didera dari dalam. Namun, bila mengingatkan Sara. Semua penderitaan itu hilang. Tanpa tinggal apa-apa kesan. Gila! Sungguh dia sudah mati rasa…

*****

Yusuff menghempas badannya atas katil. Cukup seminggu dia bertapa di rumah itu. Seminggu juga dia berhempas-pulas mengikuti setiap ujian yang diberikan oleh abang-abang Sara. Tobat! Hampir saja dia mengalah. Tapi bila fikirkan pasal Sara. Dia bangkit kembali. Berjuang habis-habisan untuk melepasi segala ujian itu. Semua demi Sara. Hoho, tahap cinta dia sudah jatuh pada tahap kritikal. Parah!

Dulu, lepas disuruh mencuci pinggan mangkuk. Boleh pula Izzue kejutkan dia untuk turut serta main futsal bersama dua lagi adiknya. Menggelegak Yusuff bila fikirkan balik tentang tu. Ingatkan dia dikejutkan untuk solat tahajud. Rupa-rupanya untuk main futsal. Gila bercampur sakit hati Yusuff dengan faii perangai abang Sara yang tidak boleh diagak bagaimana sikap mereka sebenarnya. Sekejap alim. Sekejap… hancur.

Bila di gelanggang futsal, entah kenapa dia pula yang meroyan nak main sekali. Tiga beradik itu langsung tidak memaksa malah menggalakkan lagi kalau dia mahu ikut serta. Apa lagi, sekali dia bedal main setelah lama meninggalkan gelanggang futsal. Hampir pukul 5 pagi baru mereka berhenti.

Balik rumah, baru hajat nak buat kauk rentang atas toto. Zul menegah. Siap dilipat toto yang dijadikan alas untuk Yusuff tidur semata-mata mahu menghalang Yusuff tidur.

“Kejap lagi dah masuk subuh. Kalau tidur, jawabnya subuh ke laut. Kau kena tunggu. Mak Ngah paling pantang subuh lewat-lewat. Kalau ada yang buat, dia akan libas kita dengan bebelan dia. Andai terjadi juga, kami takpe… dah biasa. Tapi kau… kami bimbang. Mungkin belum sempat habis mukadimah dia bersyarah. Kau dah tersungkur dulu. Lebih malang, telinga keluar nanah sebab tak dapat tahan asakan demi asakan dek katanya nanti… kau nak ke hadap semua tu?” Ugut Izzue.

Yusuff yang sudah layu matanya menggeleng laju.

“Dah! Kau pergi mandi. Subuh nanti kita ke surau. Nanti kat sana, ujian dari aku menanti kau.” Ujar Zul langsung tanpa berperasaan. Biarpun mata sendiri sudah kuyup menahan mengantuk tapi disebabkan Yusuff ada di situ, dipaksa jua mata untuk dicelik luas-luas. Kalau dia sendiri tumbang, maka pasti Yusuff akan mengikut jejak langkahnya.

Tiba di Surau, baru sahaja Yusuff nak bersendeng pada tiang, dia dipanggil oleh Zul. Dari riak muka Zul, dia dapat mengagak, ujian untuknya sedang menanti. Mohon jangan diberinya ujian yang tidak masuk akal lagi. Gumam Yusuff dalam hati.

“Azan.” Suruh Zul sepatah.

Jatuh rahang Yusuff sebaik otaknya mentafsir bunyi suara Zul yang dilantungkan masuk ke telinga seterusnya dihantar terus ke otak. Aduh! apa punya ujianlah…

Yusuff menurut. Dilaungkan juga azan itu. Merdu juga suara aku. Puji Yusuff pada diri sendiri.

Terkulai malu. Kembang-kempis hidung Yusuff menerima pujian yang sama daripada beberapa orang kampung yang turut datang berjemaah di surau pada pagi subuh itu. Namun, tidak pada abang-abang Sara. Sikit pun tidak terkeluar kata-kata pujian dari mereka. Nyaris terguris hati Yusuff dengan sikap mereka. Tapi bila fikir tentang Sara. Semua rasa itu dicampak jauh ke dasar hati. Dikambus dalam-dalam agar tidak muncul kembali. Sabar Yusuff. Sabar…

“Apasal suara kau terketar-ketar? Nampak sangat kau jarang azan. Banyak makhraj… sebutan ikut suka hati kau hentam… langgar je. Kau ingat ni lampu isyarat yang boleh kau nak langgar ikut sedap kau rasa nak?” Izzue hampir menyiku-lipat Yusuff tapi dibatalkan saja niatnya apabila Pak Nasir mengerling ke arahnya. Nasib baik tidak terkantoi…

“Jaga-jaga dengan pujian, Yusuff. Bimbang makan dalam. Hati kita ni… iman bukan selalu lekat. Kadang iman tu naik. Kadang turun. Beringat sikit. Jangan sampai hati terbuai dengan kata-kata pujian tu. Boleh terjangkit penyakit riak, takabur... tak ikhlas buat ibadah.” Ateeq tetap dengan ceramah agamanya. Cukup menyengat telinga Yusuff mendengar. Biarpun dituturkan secara mendatar namun cukup tajam. Zupp! Tertusuk terus menembusi dada sampai ke hati.

Yusuff menengadah memandang siling bilik. Minda ligat memikirkan apa yang berlaku dan pernah dilaluinya sepanjang menumpang teduh di rumah bakal mertuanya itu. Sesekali senyum tergaris tanpa dipaksa di bibir. Hebat betul penangan cinta Sara padanya. Disebabkan cinta pada Sara, dia main terjah datang ke kampung halaman Sara. Tanpa dia ketahui untung nasibnya apabila dia memutuskan untuk berlama di negeri itu. Misinya adalah untuk mendekati wali Sara sekaligus menyampaikan hasrat untuk menyunting Sara sebagai suri hidupnya.

Tapi langkahnya sedikit tersasar dari landasan. Sampai saja di halaman rumah Sara, orang pertama yang menyambut kedatangannya adalah abang Sara, Izzue. Bila ditanya tujuan kedatangannya mampir ke mari, tanpa berselindung dia terus menyatakan hasrat murninya itu. Disangkakannya dengan berbuat demikian, dia akan disambut baik. Rupanya dia silap. Apa yang difikirkannya langsung tidak berlaku. Lain pula jadinya.

Yusuff mengeleng. Memang aku dikerjakan lumat-lumat oleh sekalian abang Sara. Jika dihitung ujian yang perlu dilalui sebelum berhadapan dengan Pak Nasir, agaknya sudah lebih sepuluh ujian.

Dan dalam banyak-banyak ujian, rasanya ujian dari Ateeq yang paling susah untuk dipenuhi. Gila! Lebih tidak masuk akal dari ujian-ujian Izzue dan Zul. Tahap ujian Ateeq, tahap dewa. Tinggi melambung sampai Yusuff tidak boleh menggambarkan betapa sukar, susah dan menderita dia ketika berhadapan dengan ujian dari Ateeq itu.

Mana tidaknya, dia disuruh untuk ikut serta memandikan mayat bila mana salah seorang dari orang kampung tempat mereka menetap meninggal dunia. Allah, hampir pitam Yusuff sebaik Ateeq memberitahu itu adalah antara salah satu ujian yang perlu dilalui Yusuff bagi bahagiannya. Izzue dan Zul apa lagi, menyokong habis-habisan saranan Ateeq.

Terketar-ketar Yusuff apabila disuruh menjirus air pada badan mayat itu. Berkali-kali juga dia dimarah Zul sebab melengahkan kerja memandikan jenazah.

“Kau nak tanggung dosa ke… lengah-lengahkan urusan jenazah. Kalau kau di tempat jenazah ni, apa perasaan kau kalau orang buat kau macam tu?” Keras suara Zul berbisik di telinganya bertanya.

“Maaf… saya tak biasa… bukan! Tak pernah langsung buat benda ni.” Jujur Yusuff mengakui hal itu.

“Kalau tak reti… ikut apa yang kami suruh. Jadi jantan sikit. Takat mayat pun kau takut. Nanti kalau orang jahat datang kacau kau dengan Sara… macam mana kau nak hadap kalau begini gayanya?!” Ujar Zul lagi.

“Nak mandikan jenazah ni. Kena lembut-lembut. Tak boleh kasar dan lasak sangat. Kalau kasar… bangkit jenazah tu nanti. Cekik kau. Wassalam… Maka masuklah kau sekali dengan dia dalam kubur tu…” Ateeq tidak lepas peluang menggulakan Yusuff.

“Ada ke mayat bangun hidup semula?” Soal Yusuff polos. Walhal, dia tahu semua itu mustahil.

“Bila Allah sebut ‘Kun Fayyakun’… maka jadilah. Benda yang kita fikirkan mustahil mungkin akan jadi tidak mustahil bila Allah sudah izinkan. Kalau kau tak percaya… cubalah. Jangan bila dah jadi… kau kata aku tak bagi amaran. Kalau kau kata juga, dengan kau-kau aku tanam hidup-hidup dalam kubur tu.” Tegas Ateeq. Hilang terus riak muka tenangnya. Yusuff menelan liur bila melihat muka Ateeq yang langsung tiada perasaan. Muka Ateeq serius. Seserius kata-katanya.


******

Izzue mengemas sila. Zul dan Ateeq berdempek di sebelah abang mereka. Yusuff turut serta tapi duduk silanya di sebelah Pak Nasir.

“Abah… angah nak bagitahu sesuatu ni.” Izzue memulakan perbualan dengan bunga bicara yang kedengaran mendatar dan tenang.

Pak Nasir mengangguk membenarkan anak lelaki sulungnya meneruskan kata-katanya. Dia juga turut mengemas sila. Ketika ini mereka baru sahaja selesai solat di ruang tamu. Tidak ke surau seperti biasa. Memandangkan Pak Nasir ajak berjemaah di rumah sahaja. Maklum umur sudah berusia. Kaki sudah mula rasa lenguh-lenguh. Jadi disebabkan anak-anak lelaki Pak Nasir ini boleh dikategorikan anak soleh wal mithali, mereka patuh tanpa membantah. Yusuff pun turut sekali berjemaah di rumah. Nak tak nak dia perlu ikut juga. Kalau pergi sorang- sorang kat surau pun tak guna. Pasti dia terkial-kial tanpa arah nak dituju nanti.

“Hujung minggu lepas…” Seketika Izzue pandang muka Zul dan Ateeq. “Ada orang datang rumah…” Izzue berhenti lagi. Cari lorong di mana harus dia membelok. Ke kiri atau kanan. Silap lorong bimbang dia lingkup. Pasti akan dihempuk-hempuk dek abahnya nanti.

Yusuff terkebil-kebil. Dia seperti dapat merasakan malam itu akan terbongkarnya identiti dirinya pada pengetahuan Pak Nasir.

Pak Nasir tenang menanti.

“Dia datang bawa hajat. Katanya, nak datang merisik Sara.” Senafas Izzue memberitahu. Tak ada belok-belok. Terus lurus tanpa kona-leper.

Pak Nasir berubah riak. Sedikit tegang. Yusuff perasaan perubahan itu. Kecut perut pula dia dibuat bila melihat ketegangan muka Pak Nasir biarpun hanya sedikit.

“Siapa orangnya? Kenapa tak bawa jumpa abah?” Kedengaran tegas suara Pak Nasir. Ketiga-tiga anak lelakinya dipandang silih berganti. Yusuff di sebelah sudah tidak senang duduk. Aduihhh! Nampak gaya aku tak ada cam nak jadi menantu Pak Nasir ni…

“Dah bawa.” Jawab Izzue rendah. Wajah ditunduk sedikit. Mampuiih, aku…

“Tak pernah tengok pun.” Tingkas Pak Nasir.

“Tu…” Izzue memuncung mulut ke arah Yusuff. Pantas Pak Nasir berlipat tengkuk melihat Yusuff di sebelah. Yusuff apa lagi, tertelan liur dibuatnya apabila Pak Nasir merenung tajam padanya. Ucap wassalam saja Yusuff.

“Jadi… selama ni kamu tipu pak cik?” Sedikit pun Yusuff tidak berkerdip mata. Wajah Pak Nasir memang menakutkan dia sekarang. Hampir sama dengan ‘Sarjan Misai’  cuma bezanya misai dia pendek sikit. Tak melentik sangat. Kalau panjang dan melentik jawabnya boleh terkencing Yusuff di situ nanti.

Eh, tak abah. Dia tak tipu. Tapi… kami yang halang dia cakap benda sebenar. Kami nak uji dia dulu sebelum bagitahu perkara sebenar pada abah.” Potong Zul sekaligus menunaikan janji mereka untuk membela Yusuff andai munculnya darurat.

Setelah itu, dirungkai satu-persatu kisah sebenar di sebalik cerita kehadiran Yusuff ke situ. Pak Nasir tekun mendengar sesekali dia menyampuk sebab tidak puas hati dengan tindakan anak-anaknya kepada Yusuff. Bertindak tanpa kebenaran darinya.

“Jadi sekarang macam mana?” Pelik pertanyaan Pak Nasir. Yusuff berkerut dahi. Tiga anak lelakinya saling berpandangan sambil mengaru pelipis. Juga tidak faham dengan pertanyaan abah mereka.

“Bila nak bawa rombongan?” Pak Nasir memperbetulkan pertanyaan tergantungnya itu.

“Semudah itu? Tak ada ujian ke?” Tanya Yusuff.

“Bila kamu lepas ujian abang-abang Sara. Maksudnya ujian dari pak cik pun kamu sudah lepas. Tapi kalau kamu nak juga… pak cik boleh saja bagi. Tapi pak cik nak cakap awal-awal, kalau ujian pak cik… kemungkinan besar peluang untuk kamu jadi menantu pak cik... tipis.” Ujar Pak Nasir sambil mengangkat kedua-dua keningnya.

Yusuff cepat-cepat menggeleng. “Tak Nak!”

Pak Nasir merenung Yusuff seketika. Dalam tenungannya itu. Seperti sedang membaca sesuatu. “Tapi.. cuma satu saja pak cik minta..."

Yusuff diam dan tidak berganjak dari memandang Pak Nasir.

"Jaga agama. Bila agama terjaga...  inshaAllah kerja kamu nak urus rumah tangga nanti, jadi mudah. Pak cik tak suruh kau jadi ustaz, pakar agama ke apa… tapi cukup jadi orang yang tahu agama. Itu saja…” Satu permintaan yang tulus ikhlas dari seorang ayah.

Yusuff terkedu. Sejurus, dia mengangguk. Dalam hati, kesyukuran tak henti dilafazkan. Dia tidak silap memilih. Bukan saja Sara malah keluarganya.

“Jadi, bila kamu nak datang bawa rombongan?” Tanya Pak Nasir kembali. Wajah redup Yusuff ditatap dalam-dalam.

Yusuff berubah ceria. Girang. “Lagi cepat lagi bagus.” Ujar Yusuff gelojoh.

“Baiklah. Kalau awal bulan depan, tunang. Hujung bulan kahwin… bagaimana?” Cadang Pak Nasir. Jatuh rahang Yusuff mendengar cadangan Pak Nasir itu.

“Pak cik tak nak tangguh-tangguh. Tengok kamu ni pun, nampak dah tak sabar. Takut pula bila bagi lampu hijau, dibawanya anak pak cik tu keluar suka hati kamu pula. Lagi bagus kahwin terus. Kamu nak bawa ceruk dunia mana pun dia, ikut suka hati kamu. Kamu tak berdosa. Pak cik tak turut bersubahat. Amacam? Setuju atau tidak?” Soal Pak Nasir. Tegas.

“Tapi kalau kamu tak setuju… kamu bol…”

“Setuju.” Pintas Yusuff.

Serentak itu juga, ketawa Pak Nasir terhambur keluar dengan reaksi balas Yusuff tadi. Tiga anak lelakinya juga turut serta berdekah-dekah. Yusuff tersengih. Allah terima kasih atas kemudahan ini…

Weh semua! Tak lama lagi aku kahwin… hohoho

---------

*Note : Sebenarnya dalam perancangan cerita ni nak buat dalam bentuk novel tapi buat masa sekarang tak cukup masa. Jadi saya buat dalam bentuk cerpen dulu. Lebih kurang macam intro. Cerpen saya hantar kat penulisan2u. Tapi rasanya tak terbit lagi.

Insha-Allah, next-time… keluar dalam bentuk novel. Wish me luck…  - Wan

No comments:

Post a Comment